Pengerusinya, Datuk Abdul Khalid Nasir berkata, mesyuarat exco Veteran UMNO Perak pada Jumaat lalu juga mengusulkan agar Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dipilih tanpa bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden.

Menurutnya, pihaknya turut mengusulkan supaya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilantik sebagai Setiausaha Agung.

Katanya, manakala jawatan-jawatan yang lain boleh dipertandingkan mengikut kesesuaian, berpandukan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh ahli-ahli UMNO.

“Tokoh-tokoh ini boleh menerajui UMNO dengan berkesan untuk mendepani cabaran-cabaran baharu supaya UMNO boleh terus tegak dengan perkasa demi memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

“Jadikan Pemilihan UMNO tidak lama lagi sebagai peluang untuk ahli menstruktur semula kepimpinan UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Khalid, Veteran UMNO Perak juga membuat ketetapan bahawa kekalahan Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 
bukanlah titik penamat kepada perjuangan UMNO.

Katanya, UMNO mesti menjalani proses pemulihan semula dengan memilih pemimpin yang boleh menerajui UMNO dengan berkesan.

“Kami juga mengambil pendirian bahawa proses pemilihan UMNO tidak lama lagi adalah kesempatan terbaik untuk melakukan proses pemulihan parti bagi meneruskan perjuangan,” katanya. - UTUSAN ONLINE