Meskipun uzur dan terpaksa dibawa menaiki kerusi roda ke pusat pengundian, Mat Intan tetap keluar mengundi bersama isterinya, Latipah Ibrahim, 61, serta enam orang anaknya.

Mat Intan berkata, mengundi merupakan satu tanggungjawab sebagai warganegara dan dia tidak pernah gagal keluar mengundi apabila telah 14 kali mengundi sejak layak mengundi.

“Lega, saya rasa lega lepas mengundi sebab sudah tunaikan tanggungjawab, saya kena pilih yang betul (parti terbaik) untuk masa depan negara dan anak cucu.

“Dahulu semasa muda walau apa pun berlaku saya mesti mengundi dan saya pergi mengundi di dewan sekarang mengundi di sekolah, saya mahu mengundi lagi selepas ini dalam pilihan raya akan datang,” katanya ketika ditemui di SK Tanjung Gahai di sini hari ini.

Menurut Mat Intan, dia telah me­minta kesemua lapan orang anaknya untuk keluar mengundi hari ini bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai seorang warganegara Malaysia.

Katanya, tujuh anaknya mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands kali ini dan hanya seorang yang bekerja di Johor tidak mengundi kerana gagal mendapat cuti.

Sementara itu, tidak mampu berjalan serta dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) tidak menjadi penghalang kepada Rokiah Lagan, 45, untuk turut sama menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Rokiah ditemani ibunya, Sulih Mandih, 70, yang berasal dari Kampung Orang Asli Dusun Pak Senam di sini selesai mengundi kira-kira pukul 10 pagi.

Menurut Sulih, anak keduanya itu amat teruja untuk datang mengundi apabila bangun awal dan bersiap untuk sama-sama keluar mengundi.

“Dia memang tidak mahu terlepas mengundi, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu pun dia keluar me­ngundi dan hari ini dia bangun awal untuk ikut kami mengundi.

“Dia begitu seronok selepas mengundi dan saya serahkan kepadanya untuk undi sesiapa pun,” katanya.