Selain itu, dalam video tiga hari lalu itu, Dr. Mahathir membangkitkan kebolehannya memandu kereta dan menunggang kuda walaupun kurang tujuh tahun lagi berusia seabad.

Calon Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan diketuai DAP itu juga meluahkan kesal bagi pihak yang membangkitkan soal umurnya supaya tidak bongkak dengan nikmat kesihatan.

Jika diteliti, video itu dimuat naik kira-kira selang lima hari selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam majlis di Ipoh menyeru supaya nasib negara ini tidak diserahkan kepada seorang pemimpin berusia 93 tahun yang telah pun dua dekad menerajui negara ini.

Dr. Mahathir yang aktif di media sosial nampaknya mengambil masa lebih 84 jam untuk respons, yang mana norma manusia yang berasa hati dengan tuduhan atau sindiran dilemparkan pasti memberi respons pantas tanpa perlu tunggu masa panjang.

Perkara itu pastinya bukan refleksi emosi tetapi kelicikan seorang tokoh politik seperti kehandalan nakhoda menukar ribut menjadi angin yang diperlukan untuk pelayaran.

Justeru dapat dilihat, semalam , dalam tulisan di blog, beliau membangkitkan lagi soal umurnya 93 tahun dan kali ini melontarkan soal debat yang tidak disambut oleh pemimpin Barisan Nasional (BN).

Katanya, kenapa perlu takut kepada seorang yang berusia 93 tahun sepertinya. Persoalan, wajarkah menyambut debat seorang yang berusia 93 tahun. Implikasi menyambut tawaran itu cukup berisiko.

Jika Dr. Mahathir ‘digasak’ dalam debat itu, pantas persepsi timbul seolah lawan debatnya tidak punya perasaan sehingga sanggup melawan orang tua yang sudah 93 tahun.

Apatah lagi, kita dalam lingkaran kesantunan Melayu yang halus, sekali gus meletakkan keadaan serba salah dibuatnya. Serang salah tak serang salah. Maka, kalau ada yang beranggapan Dr. Mahathir dan sekutunya sengaja menggunakan usia 93 tahun sebagai taktik meraih simpati, memang tidak salah.

Akhirnya siapa sebenar yang bongkak dengan nikmat kesihatan daripada Allah, yang jarang-jarang dapat dirasai seteru politik beliau.

Bahkan Allahyarham Datuk Fadzil Mohd. Noor, bekas Presiden Pas yang pernah mendoakan Dr. Mahathir diberikan umur yang panjang bagi melihat dosa-dosanya meninggal dunia pada 2002 dalam usia 65 tahun.