Wakil Wanita UMNO Negeri Sembilan, Zuraidah Mohd. Zin berkata, dalam hal itu agensi dan kementerian berkaitan perlu mengambil peranan dengan merangka skim berbentuk galakan kerjasama seperti program anak angkat.

“Hal ini memerlukan pihak-pihak yang berkenaan bekerjasama menerusi konsep ‘menang-menang’ iaitu semua pihak akan mendapat untung dan manfaat,” katanya ketika membahaskan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO 2017 di sini hari ini.

Sementara itu, wakil Wanita UMNO Perak, Saliza Ahmad berkata, sebuah unit pemba­ngunan usahawan wanita negara perlu ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan bagi menyelaras hal ehwal berkaitan usahawan wanita di semua pe­ringkat.

Menurutnya, unit tersebut berperanan membina pangkalan data bersepadu usahawan wa­nita seluruh negara bagi mening­katkan keupayaan, ke­perluan latihan, khidmat kewangan, kaunseling, pemasaran dan sebagainya.

Tambah beliau yang juga Ke­tua Wanita UMNO Larut, ketika ini semua data mengenai usahawan wanita disimpan secara berasingan oleh kementerian dan agensi berkaitan.

“Pelaksanaan itu kelak diyakini mampu melonjak dan menambah bilangan wanita dalam sektor ekonomi berimpak tinggi seterusnya memacu wanita menjadi juara dalam bidang perniagaan,” katanya.