Malah Yang Dipertua Mubarak negeri, Tan Sri Abu Hassan Omar sekali lagi mengulangi keyakinannya bahawa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah medan terbaik untuk BN negeri di bawah kepemimpinan Tan Sri Noh Omar merampas semula Se­langor berdasarkan kepada kekuatan semasa parti.

Menurut Abu Hassan, Mubarak sendiri diberi peranan khas bagi membantu jentera pilihan raya apabila dipertanggungjawabkan untuk memastikan pengundi ve­teran yang berjumlah 30 peratus daripada keseluruhan pemilih berdaftar di negeri ini agar menyokong BN dalam PRU-14.

“Kita (Mubarak) sudah lama turun padang bagi membantu jentera parti dan kita bermesyua­rat dua hingga tiga kali seminggu bagi menterjemahkan tanggungjawab tersebut. Ahli-ahli kita kini ada di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

“Justeru, saya menyeru kepada seluruh bekas jentera dan ahli parti yang sudah veteran, tolonglah kembali semula untuk kita menyumbang ke arah kemenangan dalam PRU-14,” katanya dalam sidang akhbar selepas maj­lis penyerahan sumbangan kepada Tabung Solidariti Sinar4Rohingya di sini hari ini.

Yang turut hadir Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abd. Jalil Ali.

Dalam majlis itu sebanyak RM10,000 sumbangan peribadi ahli-ahli Mubarak disampaikan kepada Tabung Solidariti Sinar4Rohingya sebagai sebahagian daripada usaha meringankan beban etnik berkenaan yang ketika ini sedang diperlakukan dengan kejam oleh kerajaan Myanmar.

Mengulas mengenai pelbagai ketirisan membabitkan kerajaan PKR Selangor walaupun Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa kononnya sistem kerajaan negeri lebih baik daripada Ikrar Bebas Rasuah (IBR), Abu Hassan berkata, rakyat sedang menilai.

“Rakyat kena menilai perkara ini, kalau lebih baik takkanlah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masuk tanpa bersebab? Tentu ada sebab yang tertentu untuk rakyat nilaikan,” katanya.