Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd. Fuad Mat Jali berkata, UMNO akan menghadapi masalah besar sekiranya isu perpaduan tidak ditangani dengan baik sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Terdapat juga cakap-cakap belakang yang menyalahkan Presiden dan mahukan beliau meletakkan jawatannya, namun kita harus memberikan beliau sedikit masa lagi untuk menyelesaikan segala isu yang melanda dirinya ketika ini, mungkin dalam setahun dua lagi.

“Najib juga telah berjanji dalam Perhimpunan Agung UMNO bahawa beliau akan cuba menyelesaikan segala isu berkaitan dirinya dan menaikkan kembali imejnya di mata rakyat negara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas sikap ‘berjiwa besar untuk berdamai’ yang ditunjukkan Najib dalam ucapan penggulungannya sempena perhimpunan berkenaan.

Dalam ucapannya, Najib berkata, beliau ‘memilih berjiwa besar untuk berdamai’ dalam usaha mengukuh­kan ikatan UMNO namun pada masa sama menegaskan jika tawaran itu ditolak para penentang­nya, bererti mereka menolak kemahuan para perwakilan.

Tambah Mohd. Fuad, tiada guna bagi mana-mana individu atau kumpulan untuk mengkritik kepemimpinan Perdana Menteri dan adalah lebih baik jika semua pihak bersatu hati memikirkan satu langkah strategik bagi mengukuhkan perpaduan dalam UMNO.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling berkata, UMNO perlu menilai kembali permasalahan yang berlaku di dalam parti dan cuba untuk menyelesaikannnya sebelum PRU-14.

“Kalau dilihat, telah berlaku perpecahan dalam UMNO sehingga menimbulkan konflik dalaman dan jika perkara ini tidak ‘dirawat’ secara menyeluruh, bakal memberi satu kesan yang buruk kepada parti.

“Dalam masa lima atau enam bulan akan datang, UMNO perlu memikirkan satu mekanisme yang berkesan untuk mereka melakukan proses pemulihan dalam kalangan ahli parti terutama pucuk kepimpinan tertinggi,” katanya.

Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan pula berkata, usaha yang dilakukan oleh Presiden UMNO dilihat sebagai satu senario yang terbaik dan patut dijadikan contoh.

Katanya, UMNO telah mempunyai satu arah tuju yang jelas selepas perhimpunan agungnya untuk mengukuhkan silaturahim dalam kalangan ahli parti.

“UMNO juga perlu menepis segala tohmahan yang dilemparkan oleh pihak pembangkang dan memberikan jawapan balas kerana ada di antara mereka yang hanya tahu bercakap tanpa berdasarkan fakta sahih,” katanya.