Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut menegaskan, UMNO Johor dalam apa jua keadaan sentiasa mahu melihat perpaduan dapat terus diperkukuhkan di peringkat tertinggi.

Menurutnya, sebagai sebuah parti Islam, UMNO perlu sentiasa mewujudkan suasana damai serta hubungan silaturahim sesama ahli.

“Pada setiap masa, Islam mesti sentiasa wujudkan silaturahim dan dengan itu kita berharap menerusi perhimpunan yang kita telah lalui itu kita akan terima banyak kebaikan yang memberi manfaat kepada semua ahli parti.

“Atas sebab itu juga, Johor sangat mengalu-alukan (perdamaian) sekiranya untuk parti terus kuat dan bersatu padu," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas berhubung usaha perdamaian yang dihulurkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor ditemui selepas merasmikan Ekspo Perumahan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) serta Pelancaran Persempadanan Semula PBT Daerah Johor Bahru dan Kulai di Dewan Al-Hamra Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini hari ini.

Najib dalam ucapan penggulungan Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur semalam, memilih untuk berjiwa besar dengan menghulurkan silaturahim kepada mereka yang tidak sehaluan dengan beliau terutama sekali pengkritiknya.

Beliau dalam ucapan penggulungan di hadapan 2,654 perwakilan itu, mengingatkan betapa dahsyatnya perbuatan fitnah serta halusnya budaya Melayu dalam menegur pemimpin serta menyuarakan sebarang pandangan.