Mohd. Isa Abdul Samad

Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, tidak dinafikan perbezaan pandangan antara pemimpin boleh berlaku dalam pelbagai pe­ringkat parti tetapi tidaklah sampai sehingga menyusahkan Presiden serta UMNO.

“Sepatutnya tidak jadi begitu dan jika kita terus bersama-sama, insya-Allah mudah bagi UMNO untuk menghadapinya walaupun ada pandangan berbeza. Sekiranya kita tidak mengambil langkah kontra pasti kita akan menemui satu titik persamaan.

“Namun beliau (Muhyiddin) mengambil langkah le­bih awal dengan meng­asingkan diri. Bagi saya, itu merupakan satu kesilapan apabila beli­au mengambil langkah yang lain. Sepatutnya beliau bersama-sama me­nunggu, sabar sehingga semua isu dapat diselesaikan,” katanya.

Mohd. Isa bercakap kepada Mingguan Malaysia ketika melawat bilik operasi akhbar itu sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Beliau merujuk kepada kenya­taan Muhyiddin dalam catatan Facebook miliknya semalam ketika mengulas ucapan dasar Presiden UMNO yang menegaskan, pemim­pin yang wajib ditaati ialah pe­mimpin yang taat kepada perintah Allah, amanah, jujur, berintegriti dan bersih serta menjauhi perkara-perkara mungkar.

Mohd. Isa berkata, mungkin juga masing-masing ada perkiraan politik dan Muhyiddin berpandangan itu adalah langkah terbaik.

Ditanya sama ada masih ada ruang kedua-dua pemimpin itu berdamai, beliau berkata:

“Ini bergantung dan pengamatan saya berdasarkan ucapan Presiden dan reaksi Muhyiddin, nampaknya beliau me­larikan diri. Apabila melihat kenya­taan terbaharunya Muhyiddin sudah mempunyai pandangan yang berbeza.

“Jadi maknanya beliau meng­anggap pemimpin yang ada sekarang tidak bersih dan dia tidak boleh bersama. Oleh itu, tiada apa yang perlu kita harapkan lagi. Yang penting sekarang kita perlu teruskan perjuangan,” katanya.

Mohd. Isa berkata, beliau juga sukar hendak meramalkannya ke­rana Muhyiddin ketika ini tidak mahu menerima kepemimpinan Najib dan menganggap Presiden UMNO sebagai pemimpin tidak bersih.

“Beliau merupakan pemimpin yang bersih. Bila ada pemimpin yang mengaku bersih dan kata orang lain tidak bersih maka susahlah. Maknanya jika Muhyiddin kata orang lain tidak bersih, beliau bersihlah?” soalnya.

Kata beliau, sewajarnya selepas Najib membuat penjelasan dan jawapan pun telah diberikan, Muhyiddin tidak perlu memanjangkan lagi isu itu.

“Masalahnya dia ambil semangat lain. Sekiranya terus menganggap Perdana Menteri tidak betul bagaimana hendak satukan. Kita boleh berusaha tetapi batang tubuh yang mainkan peranan utama,” katanya lagi.