Aliran ini telah menunjukkan pengkomersialan media sosial semakin menjadi pilihan bukan sahaja dalam bidang hiburan, pengiklanan dan pemasaran, bahkan bidang politik Malah, pemantauan terkini pakar-pakar dalam teknologi maklumat tempatan mendapati parti-parti politik khususnya gabungan pembangkang PKR yang kini terdesak, mempunyai kecenderungan untuk membeli jumlah tontonan kempen-kempen ceramah mereka secara Facebook Live.
Menyingkap mengenai perkara itu, wartawan Utusan Malaysia, AZMAN IBRAHIM menemubual Felo Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara, DR.NOOR NIRWANDY MAT NOORDIN.

Noor Nirwandy Mat Nordin
Noor Nirwandy Mat Nordin

UTUSAN: Sejauh manakah pengkomersialan media sosial (beli jumlah penonton Facebook Live) membantu kempen PRU-14?

NOOR NIRWANDY: Ia sebenarnya membantu kempen PRU-14 apabila pengundi tidak sedar bahawa benda ini wujud atau benar-benar berlaku. Pada saat akhir, strategi jalan singkat parti politik amat memainkan peranan penting untuk menunjukkan kadar sokong­an tinggi terhadap mereka.

Bagaimanapun, sekiranya pe­ngundi menyedari mengenai helah ini atau hal ini menjadi pengetahuan umum, berkemungkinan sukar untuk parti-parti politik menagih simpati atau sokongan kerana pengundi telah pun sedar.

Jadi, bergantung kepada sejauh mana terdesaknya parti-parti politik untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi.

Kedua, bergantung kepada pemahaman pengundi itu sendiri dan sejauh mana mereka tidak lagi terpedaya dengan jumlah view dan like dalam forum ter­tentu tanpa kaji selidik asas. 

Apakah impak media sosial terhadap audiens atau pengguna media sosial?

Ia amat memberi impak yang besar kerana terdapat pengundi mencari jalan singkat untuk menggunakan bahan kempen di peringkat akhir. Pengundi atas pagar terutamanya serta mereka yang tidak mempunyai dasar politik yang jelas, cenderung untuk mencari jalan singkat dengan menggunakan media sosial bagi menentukan parti mana yang menjadi pilihan.

Bagaimanapun, mereka harus klik kepada laman-laman parti yang terbukti mempunyai gabungan komponen berkesan selain melihat manifesto dan janji-janji politik yang seharusnya membantu keadaan negara pada masa hadapan.

Klik terakhir dalam media sosial ini seharusnya kepada manifesto, ideologi, falsafah politik negara dan bukannya kepada bahan-bahan propaganda.

Apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan netizen dalam media sosial pada saat akhir kempen PRU-14?

Menjelang akhir kempen, saya mencadangkan para pengundi supaya terus melihat kempen-kempen yang menjelaskan tentang falsafah, ideologi politik, potensi pembangunan dan keseimbangan perhubungan dalam parti.

Kalau masih terikat dengan propaganda berbentuk fitnah dan budaya berita tidak benar, akhir­nya kecenderungan pengundi untuk beremosi adalah amat tinggi selain akan merencatkan proses demokrasi matang selain akan mengakibatkan pengundi membuat keputusan yang salah.

Pada saat akhir, pengundi perlu buat perkara positif dan rumuskan secara positif.

Kembali kepada benda asas dan meneliti manifesto, ideologi, falsafah dan meneliti dominasi parti-parti tertentu dalam komponen gabungan masing-masing. Itu asas netizen perlu lihat. Bukan lagi tertakluk kepada propaganda murahan. 

Adakah tindakan menjual dan membeli penonton Facebook Live ini adalah satu tindakan ber­etika?

Ia memang tidak beretika, tetapi, tidak ada peraturan atau undang-undang berkaitan pada masa ini.

Perkara itu adalah biasa dalam industri hiburan, pemasaran, pengiklanan dan strategi perniagaan, tetapi dalam politik, ia perkara baharu di Malaysia.

Namun, selepas PRU-14, saya yakin aliran ini akan menjadi perkara biasa.

Kerajaan harus melihat ba­gaimana hendak membentuk satu undang-undang baharu ke­ra­na selama ini, ramai yang tidak percaya perkara ini dapat dilakukan.

Kemajuan teknologi membuktikan pembelian jumlah penonton boleh dilakukan kerana ia  merupakan akses terbuka perisian yang boleh dicapai sesiapa sahaja.

Adakah negara lain juga turut sama menggunakan kaedah ini iaitu jual beli penonton Facebook Live?

Kita sebenarnya agak ketinggalan dalam konteks media sosial menggunakan pe­risian-perisian terkini terutamanya dalam penggunaan media sosial feed view dan media sosial Like atau Live.
Penggunaan Facebook dan Instagram kita mungkin terkehadapan.

Tetapi perisian yang dibangunkan ini adalah perkara baharu bagi kita. Di negara-negara maju, pembelian jumlah penonton Face­book Live mungkin sudah tidak lagi relevan.

Mereka telah pergi ke satu pro­ses yang lebih tinggi dinamakan bridge analytica di mana mereka melangkah ke satu tahap lagi iaitu menggunakan data peribadi untuk mencari maklumat individu bagi menyasarkan kempen-kempen secara propaganda.

Mereka menggunakan de­mo­­­grafi dan psikologi pe­ngun­­di. Bagaimanapun, kita ma­sih lagi di peringkat asas. Ki­ta masih baharu lagi.

Baru sahaja menuju ke arah ini. Bagaimanapun, masyarakat perlu sedar dari awal.

Ini yang dinamakan politik digi­tal dengan menggunakan media sosial.