Ketua pergerakan itu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, tiada maknanya terus berbangga jika menang pemilihan dalam parti tetapi tewas dalam pilihan raya.

 Beliau menegaskan, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah ada kaedah dan metadologi untuk memilih calon-calon ini yang memberi harapan ke arah kemenangan tanpa disulitkan dengan perlakuan ‘cas keting’.

 Sehubungan itu katanya, dalam menghadapi pilihan raya cukup mencabar ini, semua pihak perlu menghormati sesiapa sahaja yang dipilih menjadi calon.

“Sama ada orang baharu, lama, berpengalaman, berpelajaran atau tidak sekalipun, biarlah pucuk pimpinan yang tentukan. Kita perlu menghormati,"katanya.
 
Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu di sini hari ini.

 Yang turut hadhir, Ketua UMNO bahagian,Datuk Jailani Johari; Ketua Puteri UMNO bahagian, Rozita Ismail dan Ketua Wanita bahagian, Datuk Fatimah Hamat yang juga  Ketua Wanita UMNO negeri.
 
 Katanya, masalah dalaman parti perlu diselesaikan sebelum pilihan raya jika mengutamakan parti dan perjuangan.

 Beliau menarik perhatian, dalam konteks Hulu Terengganu, tumpuan harus diberikan untuk menawan kembali Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir yang dikuasai pembangkang sejak hampir 21 tahun lalu.

"Haruslah ada perpaduan dan kesepakatan dalam kalangan ahli. Sehebat mana sekalipun calon tersebut, tetapi apabila dalam parti tersebut berantakan tetap tidak akan memperoleh kemenangan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE