Wakil Melaka, Dira Abu Zahar berkata, hakikatnya artis-artis ber­kenaan hanya cuba berlagak ko­nonnya mengambil berat hal rak­yat walau pun mereka sendiri tidak pasti status yang dimuat naik.

Sambil menyebut nama salah seorang artis berkenaan yang sarat dengan kontroversi baru-baru ini, Dira berkata, jika benar-benar prihatin, pelakon yang kini menjadi kesayangan pembangkang itu sepatutnya turun padang membantu rakyat.

“Kalau sekadar tekan-tekan, picit-picit (muat naik status) baik tak payah. Turun padang sendiri kalau nak tahu keluh-kesah rak­yat seperti yang Puteri UMNO lakukan.

“Kalau tak nak buat, duduk diam-diam, betulkan lakonan awak tu dulu. Tak payah sibuk,” katanya ketika menyokong usul ucapan dasar Ketua Puteri UMNO pada perhimpunan agung pergerakan itu di sini hari ini.

Sindiran tajam Dira atau nama sebenarnya Khaidirah yang juga seorang pelakon dan pengacara terkenal itu kemudian disambut so­rakan gemuruh para per­wakilan dan pemerhati.

Dalam pada itu, Dira menyeru pucuk kepemimpinan parti menampilkan lebih ramai calon Puteri dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

“Kalau PRU-13 seramai sembilan calon (Puteri) di­pi­lih bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, saya minta sen­diri di hadapan Pre­si­den UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak agar boleh menambah le­bih ramai calon Puteri,” katanya.