Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehubungan itu semua ahli perlu bersatu dan meletakkan kepentingan parti melebihi diri sendiri bagi menentukan ke­sinambungan perjuangan UMNO selepas pilihan raya umum tersebut.

“Kita tewas di beberapa ne­geri bukan kerana pembangkang kuat tetapi kita lemah kerana bergaduh sesama sendiri.

“Umpamanya, apabila tidak menjadi calon, jangan kita tidak sokong calon yang dilantik oleh parti dan jangan sabotaj,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Jerantut di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan ketua ketiga-tiga sayap UMNO bahagian ber­kenaan.

Menurut Ismail Sabri, kemenangan UMNO pada PRU-14 amat penting bagi memastikan perjuangan parti itu membela nasib agama, bangsa dan negara dapat diteruskan.

“Tujuan kita bertanding kerana hendak menang pilihan raya dan mahu mentadbir negara. Apa makna kita ada parti dan 'berapi-api' berucap tetapi kalah.

“Kalau kalah, bukan calon yang bertanding kalah tetapi yang kalah adalah parti, yang kalah adalah perjuangan untuk memartabatkan orang Melayu dan agama di negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan PRU-14 juga amat penting untuk menentukan masa depan agama, bangsa dan negara yang selama ini diperjuangkan oleh UMNO yang menjadi teras kepada pembentukan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, hanya dua pilihan pada pilihan raya umum itu iaitu sama ada untuk menyokong UMNO yang menjadi tunjang kepada komponen BN atau memilih DAP yang menguasai Pakatan Harapan.

“Percayalah, kalau bukan kerana UMNO yang menguasai kerajaan jangan harap agenda membela nasib orang Melayu dan bumiputera akan diteruskan dan mungkin Majlis Amanah Rakyat (Mara) paling awal ditutup,” katanya.