Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim memberitahu, antara janji lain dalam manisfesto yang mempunyai lima teras utama itu adalah menjadikan Perlis sebagai sebuah negeri yang berprestasi tinggi dalam lapangan pendidikan.

Katanya, perkara itu adalah tambahan kepada aku janji dan dan komitmen BN di peringkat Pusat terhadap negeri Perlis meliputi aspek pembangunan ekonomi dan prasarana, peningkatan kualiti hidup, penjanaan peluang pekerjaan serta perniagaan selain fokus terhadap soal kebajikan dan pemerkasaan pendidikan.

“Kita sedia maklum begitu banyak manfaat yang diterima oleh rakyat melalui Manisfesto BN yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini,” katanya ketika berucap melancarkan Manisfesto BN negeri ini dan majlis pengumuman calon PRU-14 di Dewan 2020 di sini hari ini.

Tambahnya, teras pertama dalam manifesto tersebut adalah meliputi aspek pembangunan ekonomi dan prasarana dengan perancangan melaksanakan pembangunan Lembangan Sungai Perlis, mewujudkan kawasan perdagangan bebas di Padang Besar, Pelabuhan Kuala Perlis dan perlaksanaan Bandar Baharu Sanglang.

Katanya, teras kedua iaitu peningkatan kualiti hidup merangkumi pembinaan 1,000 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR), pembinaan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di setiap kawasan Parlimen dan mewujudkan litar lumba untuk kegunaan generasi muda.

“Teras ketiga pula adalah peluang pekerjaan dan perniagaan dengan menjadikan Perlis sebagai hab pelancongan, pembukaan kawasan ekonomi baharu, memperluaskan program bantuan gerai dan penjaja kecil selain membuka tapak-tapak perniagaan baru.

“Bagi teras keempat pula ialah keutamaan dalam soal kebajikan dengan memperluaskan program Jualan Sentuhan Rakyat secara berkala di lokasi strategik seluruh negeri ini, pembinaan dewan serbaguna, perluaskan skim bantuan ibu tunggal dan memperkemas mekanisme sedia ada berkaitan bantuan hal ehwal kebajikan.

“Teras kelima pula ialah pemerkasaan pendidikan dengan mensasarkan pembinaan sebuah universiti baharu dan sebuah kampus cawangan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap seluruh rakyat di negeri ini dapat memberi sokongan kepada BN agar perancangan dan hala tuju yang telah direncana dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Infografik

Manisfesto BN Perlis

**Teras pertama - Pembangunan Ekonomi dan Prasarana

1.) Pembangunan Lembangan Sungai Perlis

2.) Mewujudkan Kawasan Perdagangan Bebas di Padang Besar

3.) Pelabuhan Kuala Perlis

4.) Pembentukan Perlis Corporation (PCorp)

5.) Pembukaan semula sempadan Wang Kelian

6.) Bandar Baharu Kuala Sanglang

7.) Program peningkatan hasil petani

8.) Program Tranformasi Kerajaan Tempatan

**Teras Kedua - Peningkatan Kualiti Hidup

1.) Pembinaan 1,000 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR)

2.) Pembinaan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di setiap kawasan Parlimen

3.) Mewujudkan litar lumba untuk kegunaan generasi muda yang berminat dalam sukan permotoran

4.) Program baik pulih rumah

5.) Mewujudkan Xtreme Park

**Teras Ketiga- Peluang Pekerjaan dan Perniagaan

1.) Jadikan Perlis sebagai hub pelancongan

2.) Pembukaan kawasan ekonomi baharu

3.) Memperluaskan program bantuan gerai dan penjaja kecil

4.) Membuka tapak-tapak perniagaan baru

**Teras Keempat - Keutamaan dalam soal kebajikan

1.) Memperluaskan program Jualan Sentuhan Rakyat secara berkala di lokasi strategik seluruh negeri ini

2.) Pembinaan dewan serbaguna

3.) Perluaskan skim bantuan ibu tunggal

4.) Memperkemas mekanisme sedia ada berkaitan bantuan hal ehwal kebajikan

**Teras Kelima - Pemerkasaan pendidikan

1.) Sasarkan pembinaan sebuah universiti baharu dan sebuah kampus cawangan

2.) Memperkasa silibus dan menambah baik kemudahan Sekolah Rendah Islam di bawah seliaan Yayasan Islam Perlis

3.) Menjadikan Perlis berprestasi tinggi dalam lapangan pendidikan