Malah mengikut strategi Rafizi, beliau sememangnya menjadikan Sabah sebagai negeri yang akan memboleh­kan beliau memintas lawannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini mendahului kira-kira 1,500 undi, de­ngan margin besar.

Malah jangkaan banyak pihak sebelum ini, Rafizi akan ketinggalan sehingga 4,000 apabila kesemua negeri di Semenanjung Malaysia menghabiskan pemilihan juga me­leset sama sekali.

 

Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid melaungkan keyakinan Rafizi mampu menumpaskan Mohamed Azmin di Sabah kerana negeri Borneo itu merupakan kekuatan sebenar bekas Ahli Parlimen Pandan tersebut.

“Sabah dipanggil sebagai kekuatan sebenar Rafizi. Kelebihan undi sekitar 1,500 tidak cukup kuat. Di Sabah, kita masih berkeyakinan. Menang dalam genggaman dan kalah belum tentu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kehadiran anak Sabah, Raymond Ahuar sebagai calon Timbalan Ketua Pemuda PKR yang berada dalam kem Rafizi, dilihat sedikit sebanyak mampu meningkatkan sokongan terhadap kem Rafizi.

Mohamed Azmin juga sebelum ini dilihat pernah turun ke Sabah pada pertengahan bulan lalu dalam program berkaitan parti, yang dipercayai bertujuan meraih soko­ngan di negeri tersebut.

Namun persiapan kerajaan Pakatan Harapan untuk membentangkan Belanjawan 2019 pada Jumaat ini, sehari sebelum Pemilihan PKR di Sabah berlangsung mungkin sedikit sebanyak boleh mengganggu fokus Mohamed Azmin yang merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.