Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, DAP akan menjadi parti paling berkuasa sekiranya pakatan pembangkang membentuk kerajaan kerana bertanding lebih banyak kerusi berbanding parti lain dalam pakatan berkenaan iaitu Parti Keadilan Rakyat, Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

“Jangan kita buat pilihan salah, kerana orang Melayu hanya mempunyai dua pilihan pada PRU-14 akan datang, iaitu sama ada memilih Barisan Nasional (BN) ditunjangi UMNO atau pakatan pembangkang yang dikuasai DAP.

“Tidak timbul soal nak bagi undi kasihan kepada parti serpihan Melayu yang ada dalam Pakatan Harapan. Walaupun ia parti Melayu tidak mungkin dapat berdiri sendiri. Kalau pembangkang menang, DAP akan mentadbir kerajaan.

“Satu undi kita beri kepada parti serpihan itu bermakna kita mengundi DAP. Adakah kita sanggup mengundi parti yang berideologikan Malaysian Malaysia dan memperjuangkan hak sama rata dan meritokrasi,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata demikian ketika ber­ucap merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua UMNO bahagian, Khairy Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Rembau.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, ahli UMNO perlu me­ngubah pemikiran lama bahawa orang Melayu bergantung harapan kepada parti tersebut ke­rana situasi pada hari ini sudah berubah.

Hakikatnya, ujar beliau, UMNO sebenarnya bergantung kepada orang Melayu dan ini bermakna parti itu mesti memenangi hati masyarakat tersebut dan perlu dilihat sentiasa membela kepentingan mereka.