Timbalan Menteri Perdaga­ngan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong berkata, langkah kerajaan untuk mewujudkan undang-undang itu kerana perbuatan tersebut memberi lebih ba­nyak kesan negatif dalam banyak perkara berbanding keburukan.

“Sebenarnya masalah berita palsu bukan dihadapi oleh negara kita sahaja, malah banyak nega­ra lain termasuk negara maju. Mereka telah mengambil langkah me­rangka undang-undang bagi membendung perbuatan tersebut.

“Sebagai contoh, laman sosial Facebook turut mengakui terdapat pihak tertentu yang mem­biayai penyebaran berita palsu bagi mempengaruhi keputusan ketika pilihan raya Presiden Ame­rika Syarikat yang lalu.

“Syarikat Bata juga mengalami kerugian akibat penyebaran berita palsu dan tidak terkecuali beberapa jabatan dan agensi kerajaan di negara ini yang terkesan dengan berita palsu se­perti ko­nonnya terdapat arahan penutupan sekolah akibat jerebu dahulu,” katanya.

Tee Yong yang juga Ahli Parlimen Labis berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina anjuran bersama Pusat Khid­mat Ahli Parlimen Labis dan Malaysian Industrial Development Finace (MIDF) kepada 600 pene­rima di sini, hari ini.

Menurutnya, negara maju se­perti Jerman, Perancis, United Kindom (UK) dan beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) sudah mengorak langkah awal merangka undang-undang bagi mengekang perbuatan menyebarkan berita palsu di negara masing-masing.

Katanya, cadangan mewujudkan satu undang-undang membendung penyebaran berita palsu di negara ini bukan satu yang luar biasa kerana banyak negara sudah terlebih dahulu melakukan perkara serupa.

“Sehubungan itu, saya harap cadangan tersebut tidak perlu dipolitikkan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) juga mengambil inisiatif mewujudkan portal Sebenarnya.my bertujuan mengimbangi penyebaran berita palsu di negara ini.

“Saya harap orang ramai menyemak terlebih dahulu kesahihan berita yang diterima terutama melalui media sosial di portal tersebut sebelum berkongsi de­ngan orang lain bagi mengelakkan menjadi salah seorang penyebar berita palsu,” katanya.