Wan Ahmad Wan Omar

Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, perbuatan tersebut juga disifatkan sebagai tidak menghormati peranan dan tanggungjawab SPR menguruskan proses demokrasi negara berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berpandangan, pada masa sama, tindakan duta-duta EU tersebut bertemu dengan parti pembangkang juga disifatkan tidak adil terhadap kerajaan.

“Duta negara asing yang ditempatkan bertugas di sesebuah negara merupakan wakil rasmi kerajaan yang dihantar kepada kerajaan di negara yang mene­rima justeru, mereka sewajar­nya berurusan dan menghormati kerajaan di mana mereka ditauliahkan.

“Dalam suasana negara berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), wakil asing sewajarnya membuat kunjungan hormat kepada SPR jika ingin memahami perkara berkaitan urusan pilihan raya di negara ini,” kata­nya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Pengerusi Pakatan Harapan diketuai DAP, Dr. Mahathir mengadakan perjumpa­an dengan 16 duta negara EU kelmarin bagi menggesa mereka supaya memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melaksanakan PRU-14 secara bersih dan adil,

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), wakil kedutaan asing diatur Wisma Put­ra mendapatkan taklimat dan penjelasan SPR tentang proses serta sistem urusan pilihan raya di Malaysia.

“Jika mereka tidak faham tentang proses dan sistem pilihan raya di Malaysia, maka mereka terjerumus membuat persepsi yang tidak tepat serta turut terpengaruh dengan fitnah dan dakyah politik yang tidak bertanggungjawab,” jelasnya.

Beliau juga bimbang situasi itu akan menyebabkan duta-duta asing akan membuat laporan berdasarkan penilaian dan tanggapan yang tidak tepat terhadap kerajaan.