Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau sendiri dilantik menjadi calon wakil rakyat pada usia 27 tahun dan memegang jawatan menteri seawal usia 33 tahun.

Beliau berkata, justeru adalah tidak benar UMNO menutup peluang orang muda sebaliknya membukanya menerusi sayap pemuda dan puteri UMNO.

“Lihat Ketua Puteri UMNO yang diberi jawatan dalam Kabinet antaranya Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin. Begitu juga Khairy Jamaluddin.

“Sebaliknya, walaupun UMNO sudah bertukar tiga Perdana Menteri tetapi Lim Kit Siang (Penasihat DAP) tetap dengan jawatannya,” katanya dalam sesi pertemuan kira-kira dua jam dengan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis semasa Siri Ketiga Jelajah Penerangan UMNO di negeri ini.

Pertemuan itu adalah yang terakhir dalam siri jelajah berkenaan selama tiga hari sejak Jumaat lalu. - UTUSAN ONLINE