Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, sebaliknya perkara itu diterima secara sepakat berdasarkan konsensus dalam kalangan parti komponen BN, maka tiada isu mereka tidak tahu kerana persetujuan dibuat secara bersama.

Beliau berkata, ketika ini hanya Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP yang sengaja menimbulkan isu-isu sebegini dengan niat untuk mengelirukan masyarakat, walhal semua parti komponen BN sentiasa bekerjasama dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

“Jangan kata parti komponen lain dalam BN tidak tahu me­ngenai pembenta­ngan RUU 355, perkara itu dipersetujui secara kon­sensus dalam per­bincangan yang di­buat. Sekarang hanya Pakatan Harapan yang sengaja me­nimbulkan isu ini untuk mengelirukan rakyat.

“BN adalah parti berbilang kaum yang sejak dahulu lagi membuat segala keputusan secara bersama, situasi ini berbeza dengan Pakatan Harapan yang sentiasa gagal mencari kata putus dalam setiap agenda mereka,” katanya ketika ditemui pembe­rita selepas majlis pelancaran dan sesi cabutan undi Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan pihak tertentu yang mengatakan UMNO menipu parti komponen lain dalam BN berhubung pembentangan RUU 355 oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Pre­siden Pas pada hari terakhir Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-13 yang bermula 6 Mac lalu.

Pembentangan tersebut kemudian disokong oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan yang juga Setiausaha Agung Pas. Bagaimanapun Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memutuskan RUU 355 itu akan dibahas pada sesi Dewan Rakyat akan datang.

Mengulas mengenai tindakan Pandikar Amin yang menangguhkan sidang Dewan Rakyat, Tengku Adnan berkata, keputusan itu terpulang kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat itu dan bukannya dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.