Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, seluruh ahli UMNO tidak perlu merasa kecewa atau putus harapan hanya disebabkan parti itu tewas dalam pilihan raya, baru-baru ini.

Katanya, jika dilihat, parti itu hanya tewas dua kerusi di Negeri Sembilan, tiga kerusi di Melaka manakala di Perak serta Johor kekuatan masih sama rata dan tidak mustahil negeri-negeri terbabit seterusnya peringkat pusat akan dikuasai oleh UMNO bersama gagasan pembangkang lain dalam pilihan raya akan datang.

“Pada masa ini, kita susun semula strategi baik-baik, perkasakan parti bagi menghadapi pilihan raya. Jangan lagi bersengketa sesama sendiri dan yakinlah dengan kemampuan parti yang diterajui oleh Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” katanya ketika berucap pada perjumpaan khas bersama pemimpin UMNO negeri di Pusat Khidmat Kubang Gajah di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahmad Zahid; Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa serta kepemimpinan UMNO Pusat dan negeri.

Tambah Mohamad, pada masa ini, Pas dan UMNO membentuk blok pembangkang yang kuat di dalam Parlimen selain menunjukkan bibit-bibit persamaan antara kedua parti terbesar orang Melayu itu.

“Kedua-dua parti ini sebagai pembangkang akan terus diperkasakan dan selebihnya, hala tuju antara Pas dan UMNO selepas ini biarlah presiden yang menentukan.

“Apa yang penting penyatuan sesama orang Melayu Islam ini jangan berpecah,” katanya. - UTUSAN ONLINE