Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, langkah itu merupakan suatu komitmen parti dalam memastikan kebajikan mereka yang terjejas daripada Unit Komunikasi Negeri, Agensi Transformasi Rakyat Terengganu dan Pusat Khidmat Masyarakat dapat dibela sekali gus membolehkan mereka meneruskan kelangsungan kehidupan masing-masing sementara memperoleh pekerjaan baharu.

Menurutnya, buat permulaan sebanyak RM100,000 diperuntukkan ke dalam tabung itu di samping sumbangan peribadi bernilai RM50,000 daripada gaji, elaun dan pencen beliau sebagai wakil rakyat, bekas menteri besar dan penjawat awam.

“Secara peribadi saya akan menyumbangkan sepenuhnya gaji dan pencen saya selama dua bulan yang bernilai kira-kira RM50,000 ke dalam tabung ini.

“InsyaAllah, kutipan yang diperoleh kelak akan diagihkan kepada mereka supaya sekurang-kurangnya mereka dapat meneruskan kehidupan dalam tempoh satu ke dua bulan sementara mendapat pekerjaan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan dan pemilihan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kuala Nerus di Hotel TH di sini hari ini.

Ahmad Razif dalam perkembangan sama turut berterima kasih kepada kerajaan Pas kerana tidak memberhentikan kakitangan lantikan politik secara serta-merta seiring dengan konsep kasih sayang yang diberi penekanan dalam pentadbiran.

Sementara itu, pemilihan tiga sayap UMNO Bahagian Kuala Nerus menyaksikan tiada pertandingan dalam jawatan ketua-ketuanya hari ini.

Norhayati Ismail kekal menerajui jawatan Ketua Wanita manakala Muhammad Hanafi Hassan dipilih sebagai Ketua Pemuda dan Sharidah Rani @ Mohamad Nawi (Ketua Puteri).- UTUSAN ONLINE