Menurutnya, UMNO sama sekali tidak akan merelakan cubaan mana-mana pihak untuk memperkotak-katikkan hak orang Melayu, Islam, Raja-Raja Melayu serta hak penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Kalau ada pihak yang cuba berbuat demikian, mereka perlu langkah mayat ahli UMNO dulu. Dalam apa keadaan sekalipun, kami akan tetap mempertahankan Perlembagaan,” kata­nya selepas Majlis Perjumpaan Khas Kepemimpinan Tertinggi UMNO dengan Kepemimpinan UMNO Bahagian di negeri ini, di sini hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid menegaskan, UMNO sebuah parti yang utuh dengan ketika ini masih kekal memiliki jumlah wakil rakyat teramai.

“Dalam keadaan sekarang, kita harus elakkan perpecahan. Kita tahu pihak sana ada masalah dan sama ada gajah satu atau gajah dua, mereka pasti akan cari kita untuk kukuh­kan kedudukan.

“Jangan berunding sekarang, no way. Kita mesti buat keputusan secara bersama dengan syarat perpaduan dalam kala­ngan kita tak terjejas,” katanya.

Sementara itu, katanya, apa yang dilakukan kerajaan ketika ini tidak lebih daripada seolah-olah mengambil produk lama ciptaan UMNO, menukar kulitnya dan menjual semula seolah-olah produk itu hasil idea mereka.

“Selain itu, apa yang mereka berikan kepada pekebun kecil, pesawah dan nelayan dalam pembentangan Belanjawan 2019 semalam? Saya harap mereka yang terpinggir ini akan kembali bangkit bersama UMNO dan kita akan terus perjuangkan nasib mereka seperti dilakukan sebelum ini,” katanya.

Di ARAU, Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau kesal de­ngan tindakan segelintir Ahli Parlimen parti itu yang bertindak meninggalkan UMNO di saat sedang diuji pada masa ini.

Sambil menyifatkan pe­mimpin terbabit sebagai tidak mempunyai daya tahan diri dan penakut, Ahmad Zahid berkata, individu berkenaan selama ini hanya menggunakan wadah perjuangan UMNO untuk kepentingan diri semata-mata.

“Ketika parti sedang dipatahkan serta dilemahkan dari dalam dan luar, ada dalam kalangan mereka yang takut diugut telah meninggalkan parti. Hendak takut apa (disiasat), jika itu kebenaran, duduk di dalam UMNO, berani kerana benar. Apabila UMNO diduga, mereka lari selamatkan diri.

“Jangan gunakan UMNO untuk kepentingan sendiri. Dahulu orang hormat pemimpin ini namun sekarang rasa hormat itu sudah hilang dengan tindakan seperti itu (keluar UMNO).

“Pemimpin yang dihormati adalah mereka yang istiqamah dalam perjuangan selain bersama dalam keadaan susah dan senang,” katanya ketika ber­ucap dalam majlis perjumpaan khas bersama pemimpin UMNO negeri di Pusat Khidmat Kubang Gajah di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan; Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa serta kepemimpinan UMNO Pusat dan negeri.