Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dengan perkembangan terbaharu senario politik tanah air itu, pihaknya menjangkakan lebih banyak pertandi­ngan tiga penjuru berbanding dua penjuru pada PRU-14.

Beliau memberitahu, UMNO dan BN harus sentiasa berada di hadapan dalam penyusunan strategi jangka sederhana dan jangka panjang kerana pertan­dingan tiga penjuru atau lebih mendatangkan cabaran berbeza berbanding pertandingan dua penjuru.

“Jika Pakatan Harapan yang dikuasai DAP berada di luar ge­langgang yang telah sama-sama disertai Pas, maka ini tentunya memberi cabaran baharu kepada UMNO dan BN dalam pilihan raya akan datang.

“Realiti politik harus diserapkan UMNO dan BN bagi melihat bagaimana kaedah terbaik untuk kita tangani isu ini. Tentunya kita harus strukturkan semula dari segi organisasi jentera UMNO dan BN dalam menghadapi situasi yang baharu ini,” katanya.

Beliau yang merupakan Timbalan Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan Ketua Pengarah Pertubuhan Antarabangsa mengenai Migrasi (IOM), William Lacy Swing di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Semalam, Majlis Syura Ulama Pas membuat ketetapan hubu­ngan politik antara parti tersebut dengan PKR terbatal serta-merta berikutan banyak pelanggaran syarat-syarat tahaluf siyasi yang dilakukan PKR.

Menurut Ahmad Zahid, beliau menghormati keputusan Majlis Syura Ulama Pas membatalkan kerjasama politik dengan PKR yang disifatkan sebagai soal dalaman parti terbabit dan juga menghormati keputusan Exco daripada Pas untuk kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri di Selangor.

“Pada hemat saya, ini jelas memperlihatkan Pas mahu terus berada sebagai sebuah organisasi dan parti politik yang mempu­nyai identiti tersendiri dan mereka yakin boleh berdiri sendiri untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas me­ngenai ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71 di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, Ahmad Zahid berkata, penegasan Perdana Menteri bahawa UMNO bukan parti rasis membuktikan agenda parti berkenaan dalam menterjemahkan keperluan dan rakyat pelbagai kaum.

“Transformasi yang mahu di­siap siagakan untuk generasi 30 tahun akan datang, di mana semua elemen bersesuaian untuk menjadikan Malaysia sebagai 20 negara teratas menggambarkan keperluan rakyat pelbagai kaum untuk bersama mendukung hasrat ini,” ujarnya.