Pemberian bantuan itu diumumkan Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Jamal Md. Yunos, yang mana peruntukan tersebut diperolehi menerusi sumbangan terkumpul daripada pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta syarikat korporat. 

Ketika ditemui semasa mengadakan lawatan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Simpang Lima hari ini, beliau menyatakan ahli UMNO yang layak akan diperuntukkan sebanyak RM600 hingga RM700 setiap seorang dan mereka perlu mendaftarkan diri di sekolah memandu yang terpilih.  

"Selepas itu, sekolah memandu akan berurusan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk perlaksanaan program ini," katanya yang menegaskan usaha itu sebagai menghargai jasa serta sumbangan ahli-ahli UMNO di bahagian berkenaan.  

Dalam pada itu, Jamal turut mengulangi hasrat pihaknya untuk menawarkan bantuan perumahan kepada golongan belia baharu berkahwin yang kurang berkemampuan di Parlimen Sungai Besar. 

Tawaran itu katanya tidak mustahil sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya merampas semula pentadbiran Selangor daripada pakatan pembangkang yang diketuai DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). 

Malah, bantuan perumahan kepada golongan belia itu mungkin boleh diperluaskan di seluruh Selangor jika rakyat memberi kepercayaan serta mandat kepada BN untuk memegang amanah serta membetulkan semula pentadbiran kerajaan negeri ini. - UTUSAN ONLINE.