Ketuanya, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, beliau sendiri bersedia untuk mencadangkan Shahrizat bertanding mewakili kawasan itu meskipun ia masih terlalu awal dan belum pun dibincangkan lagi di peringkat bahagian berkenaan buat masa ini.

“Perbincangan ini, kita dengar di kedai-kedai kopi, di majlis perjumpaan kenduri-kendara dan sebagainya tetapi kita sedia beri laluan dan sokong beliau,” katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Shahrizat di sini sini hari ini.

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu tidak bertanding dalam pilihan raya umum 2013 ekoran kontroversi yang melanda keluarganya tetapi kini dikhabarkan sudah bersedia untuk kembali pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Ketika ini, Ahli Parlimen Sungai Besar disandang Budiman Mohd. Zohdi yang memenanginya dengan majoriti lebih besar dalam pilihan raya kecil lalu.

Sementara itu, Shahrizat ketika diminta mengulas kesediaan UMNO Bahagian Sungai Besar tersebut berkata, tawaran Jamal merupakan satu penghormatan kepada Wanita UMNO keseluruhannya.

“Tawaran ini bukan hanya untuk saya, tetapi penghormatan seorang pemimpin lelaki kepada pemimpin Wanita.

“Kami, Wanita seluruh negara amat menghargai apabila seseorang ketua bahagian dengan ikhlas tanpa diminta dan dipujuk nak sediakan karpet merah.

“Pada saya, ini adalah satu signal yang amat baik untuk kita satukan perpaduan di antara pemimpin lelaki dan juga pemimpin Wanita,” katanya. - UTUSAN ONLINE