Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya memandang positif gandingan Abdul Khalid bersama tiga lagi bekas Menteri Besar iaitu Tan Sri Abu Hassan Omar, Dr. Mohamad Khir Toyo dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib supaya rakyat jelas tentang perancangan kesemua pemimpin itu.

Noh menjelaskan, dakwaan pembangkang bahawa gabu­ngan Abu Hassan, Mohamad Khir dan Muhammad sekadar nostalgia hanya menunjukkan kebimba­ngan mereka memandangkan ketiga-tiga pemimpin terbabit ber­pengalaman dalam memba­ngunkan Selangor.

“UMNO Selangor bersama tiga bekas Menteri Besar akan berbincang dan menggembleng tenaga serta melakukannya secara bersepadu memperkukuhkan jentera demi menawan semula negeri serta tidak terkecuali mempertimbangkan kehadiran bekas-bekas Exco Selangor semula.

“Namun, kita mengalu-alukan kehadiran Abdul Khalid sekiranya beliau sudi bersama demi kepentingan rakyat. Ini kerana contohnya lihat sahaja Muhammad menyatakan bahawa sepanjang bersama pembangkang tiada agenda rakyat dibincangkan khususnya untuk orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Gelombang Tani Nasional (GTN): Karnival Jom Ke Sawah Peringkat Negeri Selangor 2017 di Sungai Haji Dorani, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi; Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Selangor, Ab Razak Kasbollah.

Program GTN yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu bertujuan memfokuskan kepada kerja dan aktiviti pembersihan kawasan kampung serta pencucian infrastruktur padi iaitu tali air dan parit.

Mengulas lanjut mengenai program itu, Noh yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor mahu golongan muda mendekatkan diri dengan aktiviti pertanian dengan menggunakan kaedah yang lebih mo­den.

“Kita tidak mahu negara bergantung dengan sumber makanan dari negara luar sedangkan Malaysia mempunyai teknologi moden yang boleh digunakan khususnya oleh golongan muda bagi mengeluarkan produk ma­sing-masing,” ujarnya.