Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, pendirian Najib untuk tidak berundur membuktikan keazaman beliau menangani masalah yang melanda sama ada dalam parti dan pentadbiran negara.

“Bagi pihak UMNO Selangor, menyokong penuh kepimpinan Presiden parti untuk meneruskan agenda perjuangan parti sebelum mahupun selepas Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir semalam.

“Kita tidak mahu parti mewujudkan duluan (precedent) yang mana setiap Presiden UMNO atau Perdana Menteri perlu turun bila-bila masa jika wujud permasalahan dalam parti mahupun pentadbiran negara. Ini akan melemahkan parti secara tidak langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Bantuan Persekolahan Back To School di sini, hari ini.

Noh berkata, Najib perlu diberi sokongan untuk menyelesaikan masalah yang dibangkitkan oleh ahli UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO 2015.

Beliau menambah, pihak UMNO Selangor akan mengatasi masalah kemiskinan bandar dan peningkatan kos sara hidup rakyat negeri ini.

“Sebagai contoh kita mahu mengatasi masalah perumahan di bandar yang dibangkitkan oleh wakil Selangor,” katanya.