Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua nama calon itu akan dikemukakan kepada UMNO Pusat untuk dipilih seterusnya dimuktamadkan.

"UMNO akan mengadakan mesyuarat perhubungan bagi membincangkan penglibatan semua bahagian di Selangor untuk membantu kemenangan calon Barisan Nasional (BN) di Semenyih.

"Bahagian Ulu Langat juga diminta bersedia dengan jentera masing-masing bagi melakukan segala persiapan untuk menghadapi PRK ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berterima kasih kepada Pas kerana memberi laluan dan akan membantu memberi kemenangan kepada BN untuk bertanding dalam pilihan raya tersebut.

Sehubungan itu jelas beliau, kepemimpinan tertinggi UMNO dan Pas telah mengadakan perbincangan untuk menjalankan gerak kerja dalam PRK ini. 

"Saya yakin kerjasama ini akan mengembalikan semula kerusi DUN Semenyih kepada UMNO," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 2 Mac sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Semenyih.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, hari penamaan calon adalah 16 Februari sementara hari mengundi awal adalah 26 Februari. - UTUSAN ONLINE