MUSA AMAN

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman berkata, anggota parti tidak seharusnya mempunyai perasaan malu untuk menjelaskan setiap isu di media sosial kerana UMNO dan Barisan Nasional negeri mempunyai rekod pencapaian terbaik dalam membawa pembangunan, kesejahteraan dan membantu rakyat selain para pemimpin parti yang sentiasa turun padang bertemu penduduk setempat.

“(Anggota) UMNO Sabah ja­ngan membisu atau berdiam diri kerana kita menghadapi bermacam-macam fitnah dan tohmahan daripada pihak pembangkang.

“Segala pencapaian kita perlu dihebahkan dan dimaklumkan di media sosial,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Media Sosial UMNO Sabah di Bangunan UMNO negeri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, anggota parti perlu menggunakan media sosial sebaiknya untuk mendekati golongan pengundi muda.

“Saya tahu, pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Sabah celik IT (teknologi maklumat), justeru, gunakan kelebihan itu sebaiknya kerana kita akan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Inilah waktunya anggota UMNO bersedia menjawab isu dibangkitkan, menangkis fitnah dan tohmahan pihak pembangkang serta menghebahkan segala kejayaan parti di media sosial,” katanya. – BERNAMA