Hajiji dalam satu sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini mengumumkan meninggalkan UMNO dengn turut membawa bersama nama-nama besar serta barisan kepemimpinan UMNO negeri.

Difahamkan kemungkinan yang tinggal dalam UMNO Sabah adalah bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Radin.

Secara keseluruhannya, yang meninggalkan UMNO Sabah terdiri daripada enam Ahli Parlimen, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), dua senator dan 21 Ketua UMNO Bahagian negeri.

Keputusan itu, jelas Hajiji dibuat secara sebulat suara.

Alasan diberikan ialah UMNO pada hari ini tidak mempunyai arah tuju politik yang jelas dan sering wujud percanggahan dalam menentukan masa depan parti dalam kalangan pucuk kepemimpinannya.

Nama empat Ahli Parlimen yang disebut-sebut sejak semalam bakal meninggalkan UMNO iaitu Ahli Parlimen Kudat, Datuk Rahim Bakri; Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd. Dun; Ahli Parlimen Libaran, Zakaria Idris dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee turut tersenarai bersama-sama dengan Hajiji.

Selain itu, Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafiz Musa yang merupakan anak bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman juga difahamkan bersama-sama dengan kumpulan itu meninggalkan UMNO.

Walau bagaimanapun, difahamkan, Musa masih bersama dengan UMNO.

Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak juga merupakan antara yang meninggalkan parti itu. - UTUSAN ONLINE