Ahli Majli Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perbezaan pendapat di antara pemimpin mahupun ahli akan hanya akan membawa perpecahan kepada parti.

Beliau berkata, seruan hampir kesemua pembahas ucapan dasar Presiden agar para pemimpin dan ahli bersatu kerana mereka me­nyedari bahaya besar menanti jika soal perpaduan diambil mudah.

“Asas keutuhan sebuah parti ialah perpaduan, jadi ini adalah prasyarat nombor satu kepada mana-mana parti politik di seluruh dunia.

“Salah satu komponen untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya mesti mempunyai tahap perpa­duan antara pemimpin dan ahli.

“Kalau ada pemimpin yang sa­ngat tidak sehaluan, ia akan membawa kepada perbezaan pendapat mengakibatkan perpecahan dan akhirnya parti menjadi lemah sebab itu saya lihat banyak jurucakap mengambil jalan menyeru bagaimana untuk melihat perpaduan dalam parti jitu dan kukuh mendokong kepada prinsip setia kepada Presiden parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Selendang Kuning oleh Permuafakatan Majlis Ayahanda (Permas) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Sementara itu, Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan berkata, kerajaan memandang serius kebimbangan rakyat berhubung jurang pendidikan di antara bandar dan luar bandar yang disuarakan oleh wakil dari hampir setiap negeri ketika membahaskan ucapan dasar Presiden.

“Kita menyedari ada beberapa perkara yang melebarkan jurang ini seperti masalah guru yang mengajar di luar bandar, prasarana sekolah dan capaian internet.

“Sebagai contoh, kita menggunakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk meningkatkan capaian internet di kawasan luar bandar yang menjadi masalah kepada guru-guru di luar bandar,” katanya.