Beliau berkata, pihaknya mempunyai banyak perancangan lain untuk pelajar di kawasan Pengkalan Chepa antaranya adalah tuisyen percuma dan penubuhan sebuah kolej komuniti.

“Majlis perundingan yang akan diketuai saya sendiri dan beberapa rakan lain serta semua pengetua dan guru besar ini akan dapat merancang program-program pendidikan secara bersepadu.

“Saya juga berjanji sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya umum akan datang, saya akan menyediakan tuisyen percuma kepada semua pelajar yang akan mengambil peperiksaan.

“Kami juga akan berusaha memastikan penubuhan sebuah kolej komuniti demi manfaat masyarakat di sini,” katanya semasa berucap di Majlis Graduasi Kali Ke 2 Sekolah Kebangsaan (SK) Datu’ Hashim di Dewan Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini hari ini.

Seramai 205 pelajar tahun enam dan 14 pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) menerima sijil graduasi mereka pada majlis itu.

Turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Datu’ Hashim, Prof. Madya Dr Abdullah Sudin dan Guru Besar, Rohani Rejab.

Sementara itu, Rohani dalam ucapannya berkata, tujuan majlis graduasi diadakan adalah sebagai motivasi dan pendorong agar murid meningkatlan tahap pencapaian dalam pelajaran.

“Keputusan cemerlang adalah penting sebagai platform ke peringkat lebih tinggi namun pencapaian akademik tidak akan ke mana tanpa akhlak yang baik.

“Tugas mendidik juga perlu dikongsi bersama antara guru dan ibu bapa dan saya amat bersyukur dengan komitmen ditunjukkan semua pihak kepada sekolah ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE