Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika mengesahkan perkara itu berkata, surat pengguguran keahlian kedua-dua veteran UMNO itu ditandatangani oleh beliau di Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata, kesahihan mengenai kecenderungan Rais kepada parti lawan masih belum dibuktikan kerana kri­tikan-kritikan keras yang di­buat olehnya menerusi media sosial tidak boleh dijadikan ukuran.

“Saya selidik dulu, saya bukan Setiausaha Agung yang dengar ‘cakap-cakap’ tetapi bila saya sudah dapat gambar sebagai bukti, baru surat (pemecatan) disediakan.

“Sebagai veteran UMNO yang sudah lama dalam parti, mereka tahu (tindakan berkempen atas tiket pembangkang satu kesalahan), namun yang menyedihkan saya waktu bersama kami, kami sokong mereka, bukan mereka tidak ada masalah, semua ada masalah tapi kami sokong atas konsep wala’, taat setia kepada kepimpinan, apa pemimpin kata kita ikut, kita tabayyun,” katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini, Daim yang juga bekas Bendahari UMNO dan Menteri Kewangan serta Rafidah yang juga bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO berceramah di pentas gabungan pembangkang PKR Pedang, Kedah dan Melaka.

Terdahulu beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan meninjau proses pengundian awal membabitkan seramai 823 pegawai dan anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

Tengku Adnan menambah, ke­dua-dua bekas pemimpin itu menikmati kemakmuran dan kejayaan semasa bersama-sama UMNO dan perbuatan mereka menyokong pembangkang membuatkan beliau berasa keliru dan amat sedih.

“Barangkali Perdana Menteri lama (Tun Dr. Mahathir Mohamad) tidak boleh lihat Perdana Menteri sekarang (Datuk Seri Najib Tun Razak) lebih baik daripada dia, begitu juga dengan Rafidah,” kata­nya.

Beliau bagaimapun percaya rakyat semakin bijak menilai untuk membezakan antara yang baik dan buruk serta yakin sokongan para pengundi kepada BN akan semakin kuat.

Tengku Adnan yang juga calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Putrajaya percaya kedua-dua veteran itu memang menunggu masa untuk dipecat supaya boleh menjadikanya sebagai bahan kempen.

Beliau mengingatkan pemimpin terdahulu supaya tidak melupakan jasa UMNO kerana segala kesenangan dan kemakmuran yang mereka raih turut dinikmati sehingga ke anak cucu.