Ini termasuk dalam isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­nge­nai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Presiden UMNO, Datuk Se­ri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, parti itu terbuka mahu menjalinkan kerjasama dengan Pas untuk membela apa sahaja isu kepentingan Melayu dan Islam di negara ini.

Menyifatkan kerjasama itu sebagai fitrah dan fikrah memandangkan rakyat mahu kedua-dua parti itu bersatu, beliau menyeru semua ahli UMNO sendiri termasuk di peringkat akar umbi agar bersatu.

“Ia manifestasi apabila perkara membabitkan Islam, bangsa Melayu dan hak diusik, kita bangkit dan memperlihatkan bahawa kita bersatu,

“Saya mahu Pas dan UMNO bersatu mulai sekarang. Kita akan memperjuangkan hak kita tanpa mengetepikan agama dan bangsa lain,” katanya ketika memberikan ucapan dalam perhimpunan tersebut.

Sementara itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kehadiran ratusan ribu rakyat di Dataran Merdeka bukti jelas mereka menyahut seruan untuk bangkit bersama dalam menentang sebarang usaha kerajaan PH untuk me­ratifikasi ICERD.

Tambahnya, walaupun PH hanya mempunyai majoriti mudah di Dewan Rakyat, mereka berani membawa isu ICERD ke Parlimen.

“Syukur kepada Allah kerana telah satukan kita semua hari ini untuk tunjukkan kekuatan kita semua sehingga kerajaan buat keputusan untuk batalkan ICERD,” katanya.

“Mereka telah diberi ingatan, jika berani bawa ke Parlimen, jutaan akan hadir himpunan di jalan raya, tanda demokrasi tetapi penuh aman dan damai, sejarah kepada umat Islam di negara ini,” ujar beliau.

Mengakhiri ucapannya, Abdul Hadi turut menyampaikan beberapa rangkap pantun antaranya ialah; ‘Dari Serdang ke Pasir Salak, Sambil menangguk udang galah­nya, Sa­rang tebuan jangan dijolok, 
Kalau dijolok parah badannya.