Naib Pengerusi PKR Perak, Tan Kar Hing berkata, perkara itu perlu diselesaikan jika kerjasama UMNO dan Pas benar-benar ikhlas.

Menurutnya, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Pas bertanding 44 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan UMNO bertanding 38 kerusi, yang mana jumlah kerusi yang bakal bertindih menyaksikan pertembungan sebanyak 38 kerusi.

“Jadi siapa parti yang hendak bertanding? Di Selinsing misalnya Barisan Nasional (BN) dan Pas hanya berbeza 97 majoriti.

“Bagaimana sekarang. Pas hendak bantu UMNO ke atau UMNO hendak bantu Pas?,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kar Hing turut mempersoalkan tindakan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad yang didakwa hanya membangkitkan penipuan dan spekulasi apabila mendakwa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan negeri tidak stabil, kononnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut merestui pertukaran Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurutnya, tindakan Ketua Pembangkang negeri itu adalah bersifat bermusim dan sering membangkitkan isu setiap kali menjelangnya Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan persidangan seterusnya bakal diadakan pada 16 April ini.

Beliau meminta Saarani supaya menghentikan segala spekulasi dan usaha untuk memburuk-burukkan nama Perak yang mematahkan keyakinan pelabur serta segala pembangunan yang sepatutnya dijalankan di negeri ini.

“Pentadbiran Pakatan Harapan adalah stabil dan kukuh di negeri ini dan kami bersama rakan lain, menyokong kepemimpinan Menteri Besar,” katanya. - UTUSAN ONLINE