Walau bagaimanapun Ahmad Zahid berkata, penyatuan tersebut tidak seharusnya mendatang­kan kegusaran kepada parti komponen lain termasuk MCA dan MIC.

“Kita bukan nak takutkan komponen lain dan kita hormati kepelbagaian agama. Tetapi bagaimana dengan empat perkara dalam Perlembagaan Persekutuan? Hormati bangsa kami, agama kami. Kerajaan boleh bertukar tapi prinsip Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditukar.

“Kami serius dalam konsep Tabayyun dan inilah permulaan Tahaluf Siyasi bagi Pas dan UMNO yang akan kita terjemahkan demi agenda yang sama,” katanya ketika berucap dalam majlis Grand Finale Ceramah Mega Kesatuan Blok Pembangkang di Bandar Sunway, di sini malam tadi.

Yang turut hadir Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hasan; jurucakap publisiti MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker dan juga calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr. Halimah Ali.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengesahkan akan menghadiri Muktamar Pas Pusat yang dijadual berlangsung pada 14, 15 dan 16 September ini di Terengganu.

Katanya, beliau telah menerima jemputan tersebut menerusi barisan kepimpinan Pas.

“Sayap UMNO termasuk Wa­nita, Pemuda dan Puteri dijangka hadir dalam majlis tersebut bagi memberikan sokongan moral kepada Pas. Saya sendiri dapat ‘endorsement’ (sokongan) daripada kepemimpinan tertinggi Pas. Komitmen kita bukan sekadar berpidato, tetapi menerusi kerja dan keikhlasan. Ini bukan soal imbuhan.

“Ketepikan protokol dan sematkan perjuangan. UMNO akan beri sokongan kuat pada Pas menerusi titik persefahaman yang telah terbentuk sebelum ini,” katanya.