Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Idris Haron berkata, semua biro kebajikan di setiap Bahagian UMNO seluruh negara termasuk di Melaka mengadaptasi semangat yang dibawa oleh Badan Kebajikan UMNO Malaysia (BiKUM) untuk membantu rakyat yang memerlukan secara konsisten.

"Kita (UMNO) adalah parti yang konsisten membantu rakyat dan bukannya seperti dakwaan pembangkang bahawa kita hanya mendekati rakyat empat tahun sekali.

"Dengan semangat yang dibawa oleh BiKUM, sekiranya berlaku pilihan raya tidak lama lagi, rakyat tiada pilihan lain melainkan memilih UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana parti inilah yang paling banyak mendengar denyut nadi rakyat," katanya.

Idris yang juga Ketua Menteri Melaka berkata demikian selepas merasmikan program UMNO Bantu Rakyat anjuran BiKUM bagi Parlimen Tangga Batu di Dataran 1Malaysia Klebang di sini sebentar tadi. Yang turut hadir, Pengerusi Badan Kebajikan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah. - UTUSAN