Mustapa Mohamed

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO ne­geri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ker­jasama yang terjalin dengan Kerajaan Pas Kelantan adalah berkaitan pembangunan negeri dan tidak ada kena mengena dengan politik.

Sehubungan itu, tegas beliau, dakwaan bahawa UMNO bertemu dan berpakat secara sulit dengan Pas termasuk akan mengelak pertembungan tiga penjuru dalam PRU-14 merupakan satu tuduhan tidak berasas.

“Saya tidak pernah bincang dengan mana-mana pemimpin dalam Pas, lebih-lebih lagi Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berhubung pakatan sulit seperti ini.

“Selama ini, pertemuan dan kerjasama kita adalah dalam hal pembangunan, misalnya dalam isu banjir dan pelaburan negeri yang memberi banyak manfaat kepada rakyat,” katanya selepas merasmikan Pertanding­an Pi­dato Pia­la Dato Pa di Dewan Keusahawanan Universiti Malay­sia Ke­lantan (UMK) Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Hubungan baik Ke­rajaan Per­sekutuan de­­­­­ngan kerajaan Pas Kelantan sejak kebelakangan ini menyebabkan musuh politik UMNO dan Pas menuduh kedua-dua parti ter­sebut menjalinkan kerjasama politik secara sulit.

Mengulas lanjut, Mustapa ya­ng juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, UMNO tetap akan bertanding di Kelantan tanpa mengira siapa lawan termasuk Pas.

Hal ini kerana kata beliau, cita-cita UMNO masih sama iaitu untuk mengambil alih pentadbiran Kelantan.

“Hari ini kami cukup bersemangat untuk meneruskan usaha itu bagi memastikan penantian cukup lama sehingga 27 tahun menjadi satu kenyataan,” katanya.