Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Razali Ibrahim berkata, mereka tidak boleh mengelak daripada berdepan situasi itu namun meneruskan usaha menonjolkan calon digemari dan disukai untuk menang dalam pilihan raya.

“Bagi saya sendiri siapa pun yang bertanding di sini termasuk parti lawan kita akan hadapi kerana itu tugas kita, kita tak boleh elak daripada berhadapan dengan siapa juga calon tak kira calon itu datang daripada presiden sebuah parti lawan.

“Tetapi, secara peribadi kalau diberi peluang (jadi calon) saya sama sekali tidak akan tinggalkan kawasan sendiri dan pergi ke tempat yang boleh mudah menang hanya kerana nak kekalkan kedudukan saya sebagai wakil rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Muar di Bangunan UMNO Muar, sebentar tadi.

Razali yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mengulas ura-ura Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bertanding di kerusi parlimen itu. - UTUSAN ONLINE