Perhimpunan ini penting untuk membina semula kekuatan dan semangat para pemimpin dan ahli setelah parti itu dilanda badai pada PRU-14 malah dalam tempoh empat bulan selepas pilihan raya berlangsung parti itu diuji pula dengan pemimpinnya memilih untuk keluar daripada UMNO.

Bersama Wartawan Utusan Malaysia, Safina Ramli dan jurugambar, Mohd. Noor Mat Amin, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid (gambar) menyatakan pandangan termasuk soal hubungan UMNO dan Pas.
 


UTUSAN : Perhimpunan kali ini sudah tentulah berbeza, sebagai pemimpin kanan dalam UMNO, apa perasaan Datuk Seri untuk menghadiri perhimpunan kali ini dalam keadaan UMNO tidak lagi memerintah di peringkat pusat?

MAHDZIR:
Perjuangan UMNO bukan perjuangan bermusim, kita adalah sebuah parti yang kena teruskan perjuangan. Kita sedar bahawa pilihan raya yang lalu kita kalah, ada banyak benda yang dikaitkan dengan kekalahan kita. Apabila kita sudah berada di bawah kita sedar bahawa parti ini telah kalah dan terima kekalahan. Apabila datang perhimpunan kali ini semua orang sedar daripada Presiden sehinggalah ke perwakilan bahawa kita ini berada dalam waktu yang kita telah kalah.

Ramai yang berpandangan kejatuhan atau kehilangan kuasa UMNO adalah disebabkan kesilapan pemimpin UMNO sendiri termasuk Datuk Seri yang dilihat tidak bertindak awal dalam memahami penolakan rakyat terhadap UMNO berikutan pelbagai isu yang berlaku sebelum pilihan raya, apa komen Datuk Seri?

Informasi menjadi begitu cepat di dalam kes UMNO hadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ada orang di sebelah sana (Pakatan Harapan) telah mencipta persepsi sebahagian ciptaan pembohongan mereka yang diterima masyarakat. Jadi, UMNO berfikiran bahawa kita membuat penjelasan seperti biasa sedang­kan penjelasan itu tidak sepatutnya kita buat seperti biasa. Patutnya kita lebih agresif lagi. Kita berada 100 meter, mereka 200 meter di hadapan kita. Itu antara yang saya akui kita lemah.

Apa pandangan Datuk Seri apabila melihat komponen-komponen BN mula dilihat mahu menjauhkan diri daripada UMNO sedangkan di Semenanjung terutamanya kekalahan BN juga berpunca daripada kekalahan mereka meraih sokongan kaum lain?

Kalah sebenarnya tiada siapa yang suka, kalau main bola yang kalah senyap saja, yang menang menjerit satu padang. Dalam parti pun berapa orang nak berkawan dengan orang yang kalah. UMNO kalah, ada 13 parti komponen atas nama Barisan Nasional (BN), hari ini tinggal lima sahaja. Paling pen­ting UMNO mesti berada pada tahap sokongan dan moral ahli berada pada tahap yang tinggi. Kita bina kekuatan dari bawah, pertengahan dan nasional. Kita ada kerangka program jangka pendek dan jangka panjang yang membolehkan parti sendiri kuat dan rakan-rakan BN kuat. 


Selepas PRU-14, UMNO me­ngadakan pemilihan tetapi ramai yang melihat UMNO terlalu perlahan untuk bangkit menstrukturkan semula parti dalam usaha mendapatkan kembali keyakinan rakyat, di mana silapnya?

Tidak ada silap apa, pemilihan parti berakhir pada 30 Jun, dalam pemilihan sendiri kita buat pemilihan secara terbuka. Selepas sahaja pemilihan UMNO kita buat retreat Ketua-Ketua UMNO Bahagian, kita mengkaji dan memperhalusi apa yang sepatutnya pucuk pimpinan buat, sama-sama bagi pandangan. Kemudian setelah itu kita hendak menghadapi Perhimpunan Agung UMNO dan di sini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid boleh terangkan arah kita ke mana. Dari Julai hingga 30 September, 90 hari bukan satu masa yang lama, nak bangun semula dalam masa 90 hari ini di bawah juga sebenarnya baru hendak bersedia selepas kekalahan, tapi kita sudah ambil begitu cepat untuk buat pemilihan parti. Kita dapat ke­pimpinan, pemilihan parti pun berlaku dengan baik dalam tempoh itu. Saya kira sehingga ke Perhimpunan Agung UMNO di peringkat bahagian, cawangan dan juga perhubungan negeri telah ada program UMNO negeri menjelang perhimpunan. Selepas perhimpunan ini kita akan tingkatkan program di peringkat nasional dan negeri.

Datuk Seri pernah menjadi Menteri Besar di Kedah dan kehilangan kuasa di tangan Pas, secara jujur apakah komen Datuk Seri apabila UMNO membuat keputusan bekerjasama dengan parti tersebut memandangkan ramai yang berpendapat ia satu tindakan yang tidak wajar?

Pada saya ia merupakan gabungan blok pembangkang, Pas dan UMNO telah menjadi parti politik lebih daripada 60 tahun dan kedua-dua parti ada prinsip dan perjuangan ahli. Sekarang masing-masing ada dalam blok pembangkang jadi sudah tentu paling penting bagaimana untuk menghadapi kerajaan sebab itu gagasan untuk pembangkang ini, saya sebagai ahli Parlimen boleh membuat perbincangan sama-sama dengan pembangkang serta meneruskan agenda atas kemurnian untuk melihat pelbagai masalah rakyat secara bersama. Pa­ling penting ialah untuk melihat bagaimana hal berkaitan dengan agama, bangsa dan juga perkara lain ada kebersamaan untuk diperjuangkan.