Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, beliau juga sudah mempunyai formula khas dan bersedia memimpin parti itu untuk menjadi pelengkap kepada kerajaan Pas Kelantan.

“Kalau benar berlaku, kerjasama itu adalah sejarah berulang dan kita berharap peristiwa kali ini tidak sama seperti sejarah lepas. Bagaimanapun, kerjasama kali ini akan melalui proses cukup teliti kerana kita tidak mahu ikatan yang dibina akhirnya bersifat sementara dan berlaku penceraian.

“Penggabungan UMNO dan Pas ini merupakan pencantuman dua kabilah Islam dan Melayu terbesar di negara ini. Malah, matlamat kedua-dua parti juga tidak jauh beza hanya jalan sahaja berlainan selama ini,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Jom Bangkit: Malaysia Baharu Harapan Palsu di Dewan Perhubungan UMNO negeri, di sini, semalam.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan penceramah UMNO, Rujhan Abd. Rahman. - UTUSAN ONLINE