Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jentera tersebut ditubuhkan bagi melancarkan gerak kerja parti di peringkat akar umbi sekiranya mahkamah memutuskan untuk mengadakan PRK DUN berkenaan.

“Meskipun setakat ini mahkamah belum ada keputusan terhadap petisyen pilihan raya DUN Rantau, kita bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

“Lagipun rata-rata yang hadir pada hari ini adalah akar umbi parti dari Rembau, jadi pelancaran jentera itu amat sesuai dilakukan hari ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Bersama Presiden UMNO di Rantau, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden UMNO yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei lalu, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi DUN Rantau selepas calon PKR, Dr. S. Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki Pas yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Berikutan itu, Streram memfailkan petisyen di mahkamah memohon PRK DUN itu diadakan semula dan kes tersebut masih berjalan. - UTUSAN ONLINE