Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, pihaknya mahu seluruh jentera parti di setiap bahagian berada pada tahap terbaik demi memastikan kemenangan majoriti lebih baik dalam pilihan raya itu kelak.

Katanya, kunjungan naziran daripada setiap bahagian ke PDM itu akan bermula di Baling esok dan dijangka selesai hujung bulan ini.

“Esok UMNO Kedah akan turunkan naziran ke 87 PDM Parlimen Baling. Keseluruhan kita mempunyai 673 PDM di Kedah dan semua naziran ini akan ma­suk dan lihat kesiapsiagaan jentera di PDM berkenaan.

“Kita tahu semua sudah bersedia dan membuat persiapan terbaik tetapi kehadiran naziran ini adalah untuk memperkemaskan semua jentera parti agar tidak ada kekurangannya. Semua PDM kita akan lawat, tidak ada satu PDM pun akan tertinggal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Kempen Kesedaran Kesihatan Wanita di Taman Seri Indah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Perge­rakan Wanita UMNO negeri, Datuk Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah.

Pada masa yang sama Ahmad Bashah juga meluangkan masa bersarapan dengan penduduk di PDM Kampung Batin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, UMNO Kedah sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan jentera parti menjalankan tugas dan siap sedia melangkah pada bila-bila masa memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Ketua unit di PDM berkenaan akan dipastikan memberi laporan tentang tahap siap siaga di PDM itu dan semua akan direkodkan serta dibawa ke peringkat negeri,” katanya.

Tambahnya, UMNO Kedah mengambil serius peringatan pu­cuk pimpinan parti terutama selepas Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini agar semua ahli bersedia sepenuhnya dalam menghadapi PRU akan datang.