Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, sebagai Tunku Mahkota Johor sudah tentu baginda ingin melihat kerjasama antara Johor dan Singapura berterusan melalui projek sedemikian.

“Projek HSR akan memberikan banyak manfaat kepada kedua-dua negara, Malaysia dan Singapura terutamanya negeri Johor melalui peluang ekonomi serta pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“UMNO Johor setuju dengan pandangan baginda (Tunku Ismail) yang melihat banyak perkara positif akan dinikmati sekiranya projek tersebut diteruskan seperti mana yang dirancang,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Tunku Ismail menerusi temubual eksklusif dengan Channel News Asia di Singapura kelmarin berharap projek HSR diteruskan kerajaan Pakatan Harapan kerana diyakini mampu memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Menurut baginda, HSR me­rupakan sebuah projek sangat positif yang perlu diteruskan ke­rana bukan sahaja akan membantu Johor tetapi juga Singapura.

Walau bagaimanapun, titah Tunku Ismail, keputusan untuk meneruskan projek itu bergantung kepada kerajaan Pakatan Harapan yang kini mentadbir negara dan baginda tidak dapat berbuat apa-apa.

Sehari sebelum temubual eksklusif itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika ditemui di lobi Parlimen berkata, Malaysia akan berunding dengan Singapura untuk menangguhkan pelaksanaan projek berkenaan.

Mengulas lanjut, Hasni yang juga Ketua Pembangkang Johor berkata, HSR merupakan projek berimpak tinggi dan sudah melalui kajian yang terperinci sebelum kerajaan Barisan Nasional semasa memerintah terdahulu mengambil keputusan melaksanakannya.