Itu merupakan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ketika diajukan soalan mengenai hala tuju parti tersebut termasuklah berkaitan kerjasama dengan Pas.

Yang lebih penting, kata Asyraf Wajdi ialah UMNO perlu menentukan hala tujunya untuk mengukuhkan parti keramat orang Melayu itu.

“Parti kita wakili suara Melayu Islam terbesar, jadi kita jangan rasa gundah gulana kerana kekuatan kita adalah akar umbi.

“Akar umbi sedang nantikan mesej yang hendak kita sampaikan. Kita tidak perlu menagih belas ihsan daripada mana-mana pihak kerana yang paling penting kita kena jelaskan apa yang diinginkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn di sini hari ini.

Menurut Asyraf Wajdi, mesyuarat hari ini menumpukan kepada persiapan Perhimpunan Agung UMNO hujung bulan ini dan juga hala tuju parti.

Beliau juga memberitahu, perkara berkaitan beberapa Ahli Parlimen UMNO yang bertindak meninggalkan parti itu turut disentuh dan akan dibincangkan dalam pertemuan dengan Ketua-ketua Bahagian petang ini. - UTUSAN ONLINE