MOHD. AMAR NIK ABDULLAH
MOHD. AMAR NIK ABDULLAH 

Timbalan Menteri Besar yang juga Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, setakat ini, status itu tidak berubah dan tiada sebarang perjanjian untuk pihaknya mengadakan kerajaan campuran dengan UMNO di mana-mana negeri.

Walu bagaimanapun kata beliau, selepas mengambil kira hubungan baik kedua-dua belah pihak sejak kebelakangan ini, beliau berharap UMNO boleh menjadi pembangkang yang ‘mesra’ kerajaan Pas Kelantan.

“UMNO masih pembangkang dan kita (Pas) masih kerajaan. Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) juga pembangkang. Status dia (UMNO) sama, dia tak jadi kerajaan dan tak ada kerajaan campuran.

“Cuma UMNO mungkin jadi pembangkang yang mesra kerajaan, terserah kepada dia, cuma kita harap begitu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Pembukaan Penggal Kedua DUN Kelantan Ke-14 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Istiadat itu disempurnakan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Amar berkata, prosiding penarikan balik saman yang dikemukakan kerajaan negeri terhadap kerajaan Pusat dan Petronas di mahlamah berhubung tuntutan royalti petroleum dijangka selesai pada 17 April depan.

“Insya-Allah April ini, selepas selesai urusan tarik balik kes saman di mahkamah, kita harap dapat bayaran royalti itu.

“Jumlah bayaran sebenar royalti bagaimanapun kita tak bincang lagi cuma kita masih minta royalti diberikan lima peratus daripada pengeluaran sebagaimana perjanjian asal,” katanya. - UTUSAN ONLINE