MUSTAFA MUSA

Perkara itu ditegaskan Wakil UMNO Melaka, Mustafa Musa bagi menggambarkan nasib parti keramat itu jika ahli khususnya dalam kalangan barisan kepemimpinan terus bertelagah dan berbalah.

“Adakah kita tergamak melihat parti ini terus dilanda Tsunami sehingga parti yang mendukung ketuanan Melayu terbangsat di tanah air ini? Sudah tentu tidak.

“Tidak mungkin sebuah bahtera itu mempunyai dua nahkoda, jika bahtera itu dikepalai dua nahkoda nescaya bahtera itu akan hanyut dan hancur.

“Justeru UMNO Melaka menyeru agar semua ahli kembali bersatu sekali gus memberikan kepercayaan dan terus membantu Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadi tiang seri kepada UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Mustafa yang bersuara garau itu turut mengingatkan bahawa pembangkang semakin rakus serta biadap untuk menghancurkan hayat UMNO pada masa sama cuba menggulingkan kerajaan bukan dengan cara demokrasi.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan empat strategi untuk mengembalikan kegemilangan UMNO sekali gus mempertahankan semula kekuatan dan keutuhan parti berkenaan.

“Pertama, ahli di semua peringkat perlu menghentikan amalan politik sempit yang menjuruskan perpecahan sesama sendiri.

“Kedua, ahli perlu mendalami dan mengamal konsep ketaatan kepada parti yang secara tidak langsung akan mewujudkan suasana harmoni dan kedamaian,” katanya.

Strategi ketiga, kata beliau, UMNO perlu berani mempertahankan perlembagaan tanpa kompromi kerana kerajaan dilihat semakin kurang tegas apabila ada kumpulan yang berani menghina Islam.

“Terakhir, parti perlu mempertahankan pertiwi iaitu dengan membela nasib orang kampung yang menjadi penyokong dan penentu kerajaan memerintah. Inilah masa UMNO boleh balas budi orang kampung, kalau tiada orang kampung UMNO tidak akan memerintah,” katanya.