Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MCA sebelum ini telah menyatakan parti itu mahu mendapatkan persetujuan para perwakilannya dalam perhimpunan tersebut dan kehadiran pemimpin komponen BN yang lain boleh mempengaruhi keputusan yang dibuat.

Beliau pada masa sama berkata, UMNO akan menerima apa sahaja keputusan MCA seandainya langkah yang diambil itu dapat menguatkan kembali parti Cina tersebut.

“Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi BN sebelum ini, kita sudah menyatakan tiada halangan kepada mereka untuk keluar jika merasakan keputusan itu dapat mengembalikan sokongan orang Cina kepada mereka.

“Maka jawapan MCA pada waktu itu mereka mahu hal berkenaan diputuskan para perwakilan dalam perhimpunan nanti. Mungkin sebab itu mereka tidak menjemput kita kerana jika ada ucapan daripada parti lain macam-macam akan berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini hari ini sewaktu melawat rumah anak yatim Raudhatul Al-Faeez di Gombak yang terbakar pada 23 November lalu.

Seandainya MCA memutuskan untuk keluar BN, Ismail Sabri berkata UMNO tidak menolak sebarang kemungkinan kedua-dua parti boleh mengadakan semula kerjasama sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)

Pada masa sama, beliau melahirkan keyakinan BN akan kembali mendapatkan Parlimen Cameron Highlands jika pilihan raya kecil (PRK) diadakan di Parlimen itu dengan syarat Pas tidak bertanding dan memberi sokongan kepada BN.

Beliau mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan kemenangan calon BN daripada MIC, Datuk C. Sivarraajh di Parlimen tersebut semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) terbatal ekoran berlakunya rasuah. - UTUSAN ONLINE