Beliau yang merupakan Naib Presiden UMNO menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO berkata, dengan senario politik baharu itu, pihaknya menjangkakan akan lebih banyak pertandingan tiga penjuru berbanding dua penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan Perdana Menteri memberitahu, UMNO dan BN harus menstrukturkan semula organisasi jentera berikutan cabaran pertandingan tiga penjuru adalah berbeza dengan dua penjuru.

“Keputusan Majlis Syura Ulama Pas untuk bermufarakah atau memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR adalah soal dalaman Pas dan soal dalaman PKR.

“UMNO dan BN merasakan ini merupakan satu perkembangan senario politik baharu yang pada hemat saya jelas memperlihatkan Pas mahu terus berada sebagai sebuah organisasi dan parti politik yang mempunyai identiti tersendiri dan mereka yakin bahawa mereka boleh sendirian untuk hadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang akhbar selepas selepas menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah Pertubuhan Antarabangsa mengenai Migrasi (IOM), William Lacy Swing di pejabatnya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE