Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, ini jelas dilihat apabila barisan kepimpinan kerajaan negeri sering tidak sehaluan sehingga kerap mengeluarkan kenyataan yang bercanggah.

Menurutnya, malah bukan lagi rahsia dalam kalangan rakyat yang saban hari mendengar kritikan tajam oleh kalangan pemimpin PH terhadap kerajaan negeri sehingga ada yang sanggup mencaci serta menghina Menteri Besar dengan gelaran tidak sopan. 

"Antara senario yang mencerminkan betapa kerajaan PH Perak tidak sehaluan ialah mengenai pembinaan lapangan terbang baharu dan cadangan menjadikan Pangkor sebagai pulau bebas cukai akan diteruskan, exco yang berkenaan mengatakan sebaliknya.

"Begitu juga ada exco kerajaan yang mengeluh kerana tidak tahu menahu mengenai beberapa keputusan penting kerajaan termasuk kelulusan kawasan balak yang sepatutnya dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Menurut Saaranai, terdapat beberapa senario pertelagahan sesama exco kerajaan apabila ada yang tidak berpuas hati apabila ada portfolio yang sebelum ini di bawah kendaliannya telah ‘dirampas’ oleh exco yang lain.

Beliau berkata, juga berlaku tindakan segelintir exco yang menandatangani surat pelantikan jawatan pegawai kerajaan walaupun ia sepatutnya perlu mendapat kelulusan Menteri Besar.

Selain itu, katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga sedang menyiasat dakwaan ada gerakan dalam kalangan pimpinan kerajaan PH Perak iaitu DAP yang mewujudkan pakatan termasuk memujuk wakil rakyat pembangkang bagi menjatuhkan Menteri Besar. 

"Senario ini sangat membimbangkan ketika rakyat menuntut supaya kerajaan bertindak secara tuntas menyelesaikan isu-isu yang melingkari kehidupan mereka termasuk desakan supaya  kerajaan segera menunaikan janji-janji dalam manifesto.

"Ini tidak akan mampu dilakukan sekiranya kerajaan yang mentadbir terus bertelagah sesama sendiri sehingga Menteri Besar tidak diberi ruang sebaiknya untuk dapat menjalankan 
tugas memimpin jentera kerajaan," katanya. - UTUSAN ONLINE